Know Your CandidateQnATransformation of Lembah PantaiDownloads
Perjuangan Anak Watan

Bagi tokoh ini, segalanya bermula di Lembah Pantai, baik dari segi peribadi mahupun politik.

Dato' Raja Nong Chik bin Dato' Raja Zainal Abidin atau lebih mesra dengan panggilan RNC di kalangan teman-temannya, adalah seorang anak jati Lembah Pantai.

Beliau dibesarkan di rumah keluarganya di Lorong Limau Manis 2, Bangsar. Ayah beliau, Dato' Raja Zainal Abidin bin Raja Tachik merupakan bekas Ketua Setiausaha di Kementerian Kesihatan sewaktu pentadbiran Perdana Menteri ke-2 Tun Abdul Razak. Setelah bersara pada tahun 1974, ayahnya menceburkan diri dalam perniagaan dan berjaya mengembangkannya ke beberapa bidang perusahaan. Malah, walau usia mencecah 96 tahun, Raja Zainal Abidin masih lagi gigih ke pejabat hingga ke hari ini!

Semasa di bangku sekolah, RNC juga pernah dibesarkan oleh nenda di sebelah ibunya, Dato Hj Mustapha Albakri, suatu masa dulu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan juga merupakan Pengerusi Pertama Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Nendanya juga adalah salah seorang wakil delegasi ke London menuntut kemerdekaan dari British pada tahun 1956.

Latar belakang perkhidmatan awam ayah dan datuknya telah membuka mata anak kecil itu tentang komitmen tinggi yang dituntut bila bertugas demi rakyat dan negara.

"Datuk adalah seorang yang tegas, menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Lebih-lebih lagi pada waktu itu, negara masih muda dan begitu besar harapan rakyat melihat Malaysia membangun. Ayah juga begitu dia mengajar saya bahawa sesuatu tanggungjawab bukan sahaja perlu dilakukan dengan ikhlas tetapi tatacaranya perlu cermat dan teliti. Bila saya dewasa dan mula bekerja, etika kerja mereka saya jadikan panduan untuk diri sendiri," kata Raja Nong Chik.



Dari Kiri: Dato' Abdul Razak (Bakal Perdana Menteri ke-2 Malaysia), V.T. Sambanthan (Presiden MIC), Dato' Hj. Mustapha Albakri (Nenda RNC), Tengku Ismail (Menteri Besar Kedah) pulang dari mesyuarat kemerdekaan Malaya di London, 1956.


Tidak hairanlah, di Lembah Pantai, RNC dikenali ramai sebagai seorang yang tekun bekerja dan mementingkan etika bila berkhidmat. Jelas cara politik RNC bukanlah yang mahukan populariti atau sensasi mudah tetapi beliau mementingkan objektif dan keputusan.

Selaku Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Timbalan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan dan juga Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai beliau gigih mentadbir urusan Wilayah Persekutuan (merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) namun masih giat menangani keperluan dan masalah yang berlaku di Lembah Pantai – sebuah kawasan parlimen yang didiami lebih 70,000 pengundi.



1980-an, Raja Nong Chik (berbaju batik) dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia melawat Kg. Pasir Lama untuk memperjuangkan nasib penduduk setinggan di situ.


Di tengah pancaroba kehidupan Lembah Pantai, rumah keluarga di Lorong Limau Manis 2 memberi seribu kenangan manis kepada RNC. Di sini beliau dibesarkan dan di sini jugalah beliau menamatkan zaman bujang apabila dinikahkan dengan isterinya, Nafesah. Pasangan bahagia ini dikurniakan dengan dua cahaya mata, Raja Hamzah dan Raja Farhana.

Masa Depan Negara Bermula Dengan Komuniti

Daripada karier awal sebagai seorang akauntan muda di sektor korporat hinggalah mencipta nama sebagai usahawan, RNC memahami cabaran ekonomi dan pembangunan negara. Beliau memahami hubungan antara ekonomi negara berkait rapat dengan ekonomi dalam kelompok komuniti.

"Membina ekonomi dan masa depan Malaysia harus bertitik tolak dari akar umbi. Keluarga dan komuniti adalah batu asas dalam membina sesuatu negara dan tamadun." Maka, inilah sebabnya kesejahteraan keluarga dan komuniti menjadi teras perjuangan beliau untuk melihat Malaysia terus maju.

Di Lembah Pantai pula, RNC telah bergerak secara aktif dalam khidmat masyarakat sejak awal 1980-an lagi. Katanya, "Ramai yang telah lupa, tetapi Lembah Pantai dahulu dipenuhi rumah-rumah setinggan, di mana banjir dan kebakaran adalah lumrah."

"Hari ini Lembah Pantai adalah kawasan yang maju. Secara peribadi, saya merasa sangat berbangga menjadi saksi dan terlibat sama dalam peristiwa penting yang mengubah Lembah Pantai," tambah Raja Nong Chik.

"Abad ke-21 membawa cabaran tersendiri buat Lembah Pantai. Pembangunan infrastruktur, rumah, sekolah dan lain-lain pesat dijalankan Kerajaan. Namun, kita harus imbangi dengan pembangunan modal insan dan memupuk kesejahteraan kehidupan yang holistik."

Tambah beliau lagi, "Melalui wawasan Greater KL, saya ingin terus memperkasakan penyelesaian kepada isu keselamatan, alam persekitaran dan kesejahteraan bandar."

Dari kanan: Raja Nong Chik, Tan Sri Elyas Omar dan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat melawat mangsa banjir di Lembah Pantai pada tahun 1992.


Cara Inovatif Selesaikan Keperluan Rakyat

Sememangnya, RNC gigih mencari pendekatan baru kepada isu warga kota seperti perumahan, kemiskinan dan sebagainya. Kejayaannya mencetuskan inisiatif baru seperti Skim Pembiayaan Khas Penjualan PPR MTEN dan PADBKL, Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia dan Skim Keselamatan 1Wilayah Persekutuan telah membuat ramai menganggap RNC sebagai seorang innovative problem-solver (penyelesai masalah cara inovatif).

"Dunia semakin global dan nilai kita berubah. Saya percaya kita perlukan penyelesaian inovatif untuk isu rakyat hari ini. Kita tidak boleh anggap wang dapat menyelesaikan semua masalah - malah penyelesaian termudah juga tidak semestinya penyelesaian terbaik dalam kesan jangka masa panjang."

"Dalam hal pembangunan semula Flat 4 tingkat Kg Kerinchi, masalah rakyat di situ bukan mencari wang bangunkan semula kawasan mereka. Ramai pemaju berebut-rebut tawarkan diri untuk tanggung biaya. Tetapi kita mahu penyelesaian pembangunan yang mewujudkan persekitaran paling sejahtera untuk penduduk asal dan juga sekitar Bukit Kerinchi."

Dalam kemelut politik negara, Raja Nong Chik mengaku beliau tidak punya masa untuk bermain kata dan 'wayang' semata-mata.

Kata Raja Nong Chik, "Dalam politik, saya berpegang pada komitmen dan etika kerja. Ada yang anggap politik begini old fashioned (gaya lama) tetapi dalam sejarah, tamadun tak dibina dengan bicara saja tetapi dengan komitmen dan kecekapan pentadbiran."

"Kita jangan bercakap tentang perjuangan besar, kalau rakyat kecil tidak dibela nasibnya terlebih dahulu. Perjuangan negara bukan bermula di demo jalanan tengah kota, tetapi dengan tindak-tanduk harian kita mendengar masalah, membantu dan memperkasakan insan dalam komuniti.Selanjutnya, kita serahkan kepada Allah SWT, sama ada kita terus berpeluang untuk berkhidmat atau tidak."

Raja Nong Chik menegaskan pendiriannya: "Setiap insan dan keluarga di Lembah Pantai adalah batu asas untuk perjuangan rakyat kita iaitu Malaysia yang lebih gemilang."

Raja Nong Chik mendengar penjelasan dari ketua pasukan bomba dan penyelamat sewaktu meninjau lokasi bencana ribut di Pantai Dalam, 2012.


Latar Belakang

Dato Raja Nong Chik berusia 60 tahun, lahir di Perak pada tahun 1953. Mendapat pendidikan awal di Methodist Boys School, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran ke Victoria Institution dan Maktab Tentera Diraja.

Berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dari University of Wales, beliau adalah seorang akauntan bertauliah dan ahli UK Chartered Institute of Management Accountants. RNC juga adalah seorang setiausaha syarikat bertauliah dan ahli Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators.

Beliau memulakan kerjaya awal di FELCRA dan FIMA sebelum bergelar usahawan. Sebagai usahawan, RNC telah berjaya mengembangkan perniagaannya dalam bidang logistik, pengilangan, kejuruteraan dan beberapa lagi sektor.

Aktif dalam pembangunan keusahawanan, RNC pernah menjadi ahli Majlis Inovasi Negara dan memegang jawatan presiden dalam Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia.

Beliau menjadi Ahli Dewan Negara pada April 2009 dan seterusnya dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Raja Nong Chik: Anak Watan



Kad Laporan Lembah Pantai



Muat Turun PDF






WAR Against Crime


Copyright © All Rights Reserved :: www.rajanongchik.com