Pada 28 Mac 2010 yang baru ini, saya telah turut serta menghadiri taklimat oleh wakil Jabatan Perumahan DBKL mengenai program pemindahan sementara di perumahan awam DBKL serta taklimat cadangan pembangunan semula rumah pangsa 4 tingkat Kampung Kerinchi yang disampaikan oleh Y.Bhg. Dato’ Bakaruddin Othman, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) KWPKB.

Seterusnya, saya turut memerhati perjalanan pengundian secara sulit oleh pemilik atau waris pemilik rumah pangsa 4 tingkat bagi memilih syarikat pemaju yang dikehendaki. Alhamdulillah, pengundian berjalan lancar. Pengiraan undi dibuat pada hari yang sama dan pemaju yang dipilih oleh majoriti pengundi ialah Suez Domain Sdn. Bhd.

Ini adalah suara majoriti penduduk dan difikirkan kaedah yang terbaik untuk memuaskan hati dan memudahkan pelaksanaan kerja semua pihak. Kaedah memilih sendiri pemaju yang berkemampuan melaksanakan program pembangunan semula oleh penduduk yang terlibat adalah yang pertama kali dilaksanakan oleh Kerajaan bagi membuktikan ketelusan dan keikhlasan Kerajaan selaras dengan gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kejayaan kaedah ini dijangkakan akan menjadi perintis dan langkah terbaik kepada pelaksanaan program pembangunan semula kawasan-kawasan usang lain yang akan dikenalpasti oleh Kementerian bagi memberi ruang dan peluang rakyat membuat pilihan di samping memastikan semua pihak berpuas hati dengan pelaksanaan program pembangunan semula bandar oleh pihak Kerajaan.