Pada 13 Mac 2010, saya telah menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Hari Wilayah 2010 yang bertempat di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.

Dalam majlis ini, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya meraikan kira-kira lebih 5,000 orang warga daripada ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bersama tetamu kehormat Y.A.B Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan isteri Y.A.Bhg. Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Tujuan utama majlis ini diadakan ialah bagi memperkukuhkan ikatan tali silaturahim di kalangan warga Wilayah Persekutuan daripada pelbagai peringkat tanpa mengira bangsa atau agama di samping berpeluang kepada rakyat khususnya warga kota bertemu dan beramah mesra secara dekat dengan pucuk pimpinan negara. Pada majlis ini juga, seramai 900 orang warga Wilayah Persekutuan terdiri daripada warga yang miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) akan menerima sumbangan bernilai RM100.00 seorang sumbangan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan dan KWPKB serta agensi-agensinya.