KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar meletakkan sasaran untuk membasmi kemiskinan tegar di seluruh Wilayah Persekutuan (WP) menjelang akhir tahun ini, kata Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, bagi tujuan itu pihaknya kini giat melatih 148 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan 390 KIR miskin di Kuala Lumpur dan Labuan dengan kemahiran membuat kraftangan, jahitan dan ilmu keusahawanan bagi membolehkan mereka bekerja sendiri atau diupah majikan.

Katanya, kementerian juga mengeluarkan lesen penjaja kepada golongan miskin tegar dan miskin serta memberi khidmat nasihat dan kursus bagi membolehkan mereka menjadi penjaja tulen. Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu”adzam Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan di Istana Negara, semalam.

Raja Nong Chik berkata, selain usaha pembasmian kemiskinan, tumpuan turut dilakukan terhadap penambahbaikan dan peningkatan infrastruktur khususnya di kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Tambahnya, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di bandar supaya lebih indah, selesa dan selamat, pelbagai usaha penambahbaikan sudah dijalankan di Hentian Puduraya iaitu dengan membina laluan pejalan kaki berbumbung, jejantas dan mewujudkan sistem bas yang lebih teratur manakala di Putrajaya pula sistem ‘park and ride’ kini dalam peringkat kemas kini.

Sumber : Berita Harian